Seorang Kakak Menunggu Kehadiran Adiknya | by Unaa’s journey 🌷 | Aug, 2025

1755998686 bc1f8416df0cad099e43cda2872716e5864f18a73bda2a7547ea082aca9b5632.jpeg

Dalam hidup ini, tidak semua yang kita inginkan akan kita dapat. Apa yang kita perlu ialah sabar, sabar, dan terus sabar. Dengan izin Allah, kesabaran itu pasti membuahkan hasil.

Hai, nama aku Hanaa. Kehidupan aku tidaklah terlalu bahagia, dan tidak juga terlalu sedih. Semuanya bermula pada hari aku dilahirkan, 26 Oktober 2009, hari Isnin hampir pukul 5 pagi.

Ibuku sangat gembira dengan kelahiranku kerana pada waktu itu aku adalah anak perempuan satu-satunya, dan anak terakhir daripada empat orang adik-beradik. Keluargaku amat menyayangi dan memberi perhatian kepadaku.

Tiga tahun kemudian, pada 9 Mac 2012, lahirlah adikku, seorang lelaki bernama Arif. Aku perlu menerima kenyataan bahawa aku tetap menjadi satu-satunya anak perempuan. Namun, aku gembira dengan kehadirannya. Kami membesar bagaikan kembar — muka hampir sama, tinggi dan saiz pun hampir sama. Sampai orang selalu bertanya, “Eh, kembar ke ni?” dan ummi sabar menjawab, “Bukan, yang ini kakak, yang ini adik.” Walaupun agak penat mendengar soalan yang sama, aku tetap rasa seronok kerana Arif adalah teman sepermainanku.

Kemudian, pada 17 September 2015, aku dikurniakan seorang adik perempuan bernama Ija. Alhamdulillah, akhirnya ada juga adik perempuan dalam keluargaku. Kehadirannya membuat aku rasa lebih lengkap. Walaupun kadang-kadang orang dewasa suka pesan, “tolonglah ummi, kau kan perempuan,” aku sedar mungkin itulah sebab Allah menghadiahkan aku seorang adik perempuan — supaya aku belajar menjadi lebih bertanggungjawab.

Tidak lama selepas itu, pada 12 November 2016, lahir pula seorang adik perempuan bernama Nisaa. Namanya secantik dirinya. Aku masih ingat, sewaktu Nisaa dilahirkan, tangisannya begitu kuat dan nyaring. Ummi yang kepenatan selepas bersalin sempat terdetik, “Anak siapa bising ni?” tetapi rupanya itu tangisan Nisaa sendiri.

Membesar bersama Nisaa mengajarkanku banyak perkara. Dia seorang yang pendiam, memilih makanan, dan suka menyendiri. Makanan kegemarannya hanyalah nasi putih dengan telur mata goyang — dan aku pula yang sering bancuh susunya, memasak untuknya, menukar lampin, dan memandikannya. Walaupun cerewet, aku tetap sayang padanya.

Kadang-kadang aku terfikir, aku belum puas bermanja dengan mak dan ayah. Namun, sebagai kakak, aku perlu faham. Mereka memberi lebih perhatian kepada adik-adikku kerana mereka masih kecil. Dulu aku tidak mengerti, tetapi sekarang aku faham.

Apa Yang saya belajar

Dalam kehidupan, kita perlu sabar dalam apa jua keadaan dan belajar menerima dengan hati yang terbuka. Jika kita berusaha memahami orang lain, insyaAllah orang lain juga akan memahami kita.

Menjadi seorang kakak tidaklah mudah, tetapi tidak juga terlalu susah. Ia memerlukan kesabaran yang luar biasa — begitu juga peranan seorang ibu, ayah, abang, dan adik dalam keluarga.

Nasihat dari saya

Kekuatan seorang ibu sangat luar biasa. Ibuku tidak pernah merungut melahirkan adik-adikku, tidak pernah menyesal membesarkan kami. Dari seorang kakak pula, kita belajar bahawa tidak semua perkara yang datang dalam hidup akan menghancurkan impian kita. Kadangkala ia hadir untuk memperbetulkan keadaan.

Hidup ini bukan tentang siapa yang tinggal bersama kita, tetapi bagaimana kita belajar bertahan dengan izin Allah.

Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *